Wednesday, January 13, 2016

Bau Kapur Barus

Majlis pertunangan abang aku dengan kawan baikku sungguh meriah. Penuh adat dan tradisi, siap berbalas-balas pantun tu. Sehari selepas majlis itu aku berlepas pulang ke Pekan kerana cuti penggal persekolahan telah tamat.

Senja Selasa 17 April itu aku menerima satu pesanan ringkas melalui telegram, mengatakan ayah aku sakit.  Telegram adalah perhubungan terpantas pada ketika itu, lagipun penggunaan telefon masih terhad. Dulu dan sekarang memang jauh berbeza.

Esoknya, selepas subuh kawan aku CD berkayuh meredah kegelapan pagi menghantar aku menuju ke perhentian bas Pekan. Kami terserempak DYMM Sultan Pahang sedang berjogging mengelilingi Padang Polo bersama pengawalnya.... Sultan Ahmad Shah memang sultan yang berjiwa rakyat!! Baginda dulu yang beri salam dan bertanya ke mana arah tujuan kami pepagi tu… “nak balik kampung Tuanku… ayahnda patik tak sihat!”  Kena la berpatik-patik, aku kan bercakap dengan Sultan Pahang tu.  “Ya lah.... Selamat semua hendak nya…!”  doa ringkas tuanku.

Setibanya di Kuantan tiket bas express sudah kehabisan, terpaksalah aku naik bas ‘ting-ting’ dah la lambat...  bas tu rosak pula di Temerloh. Kemudian sesampainya aku di Jerantut, aku terlepas pula bas ke Benta. Hiiii... Nasib! Baru aku faham... Selalu dengar orang kata "penantian itu satu penyiasaan".  Duduk 'menganguk' menunggu bas satu jam lagi. Bukan aku tak mahu naik teksi, aku dah tanya diorang tak mau hantar katanya sebab jauh dan susah nak dapat penumpang balik ke Jerantut.

Akhirnya aku tiba jua di Benta, dah masuk waktu asar. Hmmm... aku kena cari pula‘perebet sapu’ (teksi persendirian) untuk perjalanan ke kampung aku tu. Tetiba aku disapa oleh pemandu teksi persendirian tu…  “oh.. awak baru sampai ke?.. tunggu kejap ye… diorang tu (merujuk kepada penumpang nya) tak siap membeli lagi”.  Sapaannya aku balas dengan senyuman lesu kerana kepenatan... Aku kemudiannya diturunkan dipersimpangan jalan masuk ke kampung aku tu je. "Kena berjalan kaki kira-kira 5km lagi", keluh aku sendirian. Aku gagahkan diri berjalan lelaju. "Alaa.. dulu masa aku sekolah rendah hari-hari aku jalan kaki" pujuk diri sendiri sambil mengimbas kembali kenangan lama. Seronok pergi sekolah sambil main kejar-kejar!

Sambil aku melangkah, sambil aku melamun, dan lalulah sebuah kereta mewah hitam menuju masuk ke kampung aku...Kerete itu berhenti di sisi aku.  Lelaki yang tadi yang tadi duduk menyandar di belakang telah bertukar duduk ke tempat duduk penumpang di depan. Dia mempelawa aku menumpangi keretanya. Rasa macam kenal tapi siapa ya?... aku cuba mengingati. Dia kata nak pergi ziarah ayah saudaranya di kampung aku... Aku masuk duduk je di belakang kereta itu, dia bertanya tentang aku, nama apa, sekolah di mana. Lepas tu dia tanya lagi "kenal tak saya?" Assudahhhh...  siapa pulak nama dia ni ya...? Otak aku berkerja keras cuba mencari jawapannya... Kebetulan aku terpandang nama terlekat pada 'brief case' sebelah aku tu. "Ohhhh... kenal!.." yakin je aku menjawab. Tidak banyak yang diperbualkan, aku pun segan nak tanya itu ini... Dia tu wakil rakyat!

Aku ucapkan terima kasih dan cepat-cepat melangkah turun dari kereta mewah itu. Aku berlari ikut jalan pintas, lalu di tepi rumah pak saudara aku, tetiba sepupu aku kata  "awak lambat sangat la... orang tanam dah!" aku sengeh-sengeh "oh... yea ke... ?" balasku tapi aku tak faham pun apa maksud dia.

Tiba di rumah, aku masuk ikut pintu dapur. Aku diterpa kakteh lalu memeluk aku dan menangis. Kemudian datang kakti pula peluk aku dan menangis... Eh.. tak faham aku.... mengapa diorang ni? Dari dapur aku mahu ke bilikku untuk bersolat, nak qada zohor yang memang dah terlepas, asar pun dah di penghujungnya. Kelihatan di ruang tamu 'orang besar' tu dan pemandunya bersila di lantai bersembang pelahan dengan abang sepupu aku. 

Bila aku terhidu bau kapur barus, mata aku melilau mencari dari mana datang bau itu. Aku terpandang tilam 'kosong' sungguh tidak kusangka.... dia telah pergi buat selamanya. Aku bersolat bertemankan air mata. Tak tau la khusyuk ke tidak aku solat tu. 
Tiba-tiba rasa rindu serindunya. Kelabu rasa mata dengan linangan airmata bila aku melukis potret ayahku ini.

Aku redha... dari Dia kita datang, kepadaDia kita kembali.





No comments:

Post a Comment