Monday, November 30, 2015

Sunday School

Assalamualaikum!
Iman Sunday School sudah dipenghujungnya. Untuk majlis penyampaian hadiah aku sudah sediakan sijil dan hadiah pelajar terbaik kelas aku. Hari terakhir aku mengajar...terharulah juga bila anak didik peluk aku dan cakap “I’m going to missed you”. Aku sengeh sengeh je... 

Sudah beberapa tahun aku mengajar sukarela di masjid tempatan ni. Dulu aku mengajar iqra' dan fardu ain, tapi sebab aku semakin sibuk (sibuk apa tahhh...) sekarang ni aku cuma ajar fardu ain saja. Aku selalu ingatkan diri ku sendiri tentang amanah ini, aku harus ikhlaskan hati dalam membuat kerja amal macam ni. InsyaAllah!… 'Lebihnya sebagai seorang muslim itu bukan hanya pergi ke Masjid. Tetapi ketahuilah Allah mahukan PERHATIANmu tidak KEHADIRANmu.' 

Anak didik aku berbilang bangsa, latar belakang yang berbeza dan perangai yang berbagai-bagai. Pada peringkat awalnya terasa payah juga nak kawal kelas, anak murid aku ni macam murai cabut ekor.. punya la bising. aku wonder.. agaknya diorang ni tak ada peluang kot bercakap kat rumah.. jadi aku beri masa 10 minit 'sharing time' kongsi cerita dengan kelas, pun bising juga. Aku cuba gula-gulakan mereka.. dapat coklat, diamlah sekejap. Alaaa.. budak baru umur 7-8 tahun, aku kena tebalkan sabar. Aku beri peluang diorang bercakap lepas tu diorang kena dengar cakap aku pula. Heh!

Aku ajar ikut peringkat umur, disebabkan latar belakang pelajar yang berbeza, aku tak bolehlah ajar cara ‘one size fit all’ tu. Sesetengah anak didik aku memang buat aku rasa bangga, macam aku ni pandai je mengajar diorang tu.. padahal tak pun..., namun macam dalam pepatah matsaleh kata tu.. "dalam sebakul epal tu ada la sebiji dua yang rosak", macam tu la perbandingan murid dalam kelas aku tu. Buat aku rasa bangang jeee... dah setahun aku ajarkan hafal Alfatihah, pun masih terhegeh-hegeh. Haduiii sabar je laaa.. 

Aku mengajar asas fardu ain, pengisian perkara untuk pembelajaran berkaitan wudu’ termasuklah taharah (kebersihan) dan cara cara mendirikan solat. Disebabkan aku di sini berdepan dengan ke empat-empat mazhab tersohor itu, jadi aku pun macam... ok jer kalau anak murid aku nak pusing-pusing jari diorang masa tahaiyat.

Kadang-kala tu bila aku serious, mereka gelakkan aku. Bila aku beritahu... masa kita solat jangan ikut perangai 3 jenis binatang ni… waktu sujud, dalam solat kita jangan seperti seekor burung yang mematuk-matuk laju. Masa sujud juga jangan seperti seokor anjing yang berbaring, yang merapatkan tangan (bahagian siku) ke rantai. Dan jangan solat seperti seekor unta… iaitu... bila kita bangun dari sujud dengan mengangkat punggung terlebih dahulu. Angkatlah kepala dahulu dan bangun.

Aku selitkan juga bercerita kisah nabi, dan cerita-cerita yang ada moral value (seperti jujur, yakin, ikhlas dll), tentang ketuhanan (mengTauhidkan Allah). Bila berkesempatan aku ajarkan juga doa-doa pendek yang mudah. Sekali-sekala aku ajukan ‘pop kuiz’ (apa saja yang ter‘pop’/ terlintas di kepala masa tu) aku selalu sediakan hadiah kecil seperti ulas-ulas m&m. Memang kelas aku selalu bising, semua mau cuba sebab inginkan hadiah!

Aku juga rasa seronok berkongsi ilmu yang tak seberapa ni. Kelas akan tamat bila terdengar azan berkumandang menandakan masuk waktu zohor. Kami bersolat jamaah sebelum pulang ke rumah.“If Jannah is your dream, HOLD TIGHT to your deen!

Salam dari downunder...

Friday, November 27, 2015

Culture Clashed

Di mana bumi di pijak, di situlah langit di junjung.

Aku anak kampung dirantauan, yang tinggal dalam masyarakat antarabangsa. Aku tak boleh nak cakap rambut sama hitam, hati lain lain. Memang warna rambut tak samapun,  walaupun menganut agama yang sama, agama Islam. Disebabkan asal kita dari benua yang berbeza, pasti terdapat kelainan dalam adat dan kebiasaan. Kelainan itulah yang aku nak kata puncanya percangahan budaya.

Alkisah... Suatu hari dalam bulan Ramadhan En Hubby mendapat jemputan Iftar (berbuka puasa) dari tuan punya restaurant halal di sini. Aku.. memanglah rasa seronok, tak payah penat fikir apa nak masak untuk berbuka bila ada orang nak belanja kan...

Restaurant itu terletak agak jauh dari pusat bandar, kami datang naik kereta. En Hubby parking betul betul hadapan pintu restaurant. En Hubby melangkah masuk, bersalaman dengan yang ada di situ dan kemudian dia duduk bersila. Di situ kelihatan beberapa lelaki Afrika sedang bersembang sembang.

Aku masih berdiri di pintu seperti orang bingung. En Hubby melambai lambai memanggil aku masuk. Sambil melangkah masuk mataku memandang ke setiap sudut. Waktu berbuka dah dekat ni mana orang perempuan tak sampai lagi ni, detik hati aku.

Aku buat bahasa isyarat suruh En Hubby pergi tanya, tapi dia buat tak faham je. Memang tak faham agaknya, yang belajar sign language dulu aku! Hisssh..

Tetamu lelaki semakin ramai, Ooooo... baru aku tau... yang jemputan iftar ini hanya untuk kaum lelaki sahaja. Hadooiii malunya akuuuu... tak tau nak kalih muka kat mana. Aku minta izin pergi ke dapur. Aku solat maghrib di antara peti ais besar dan daun pintu.

Balik dari iftar tu aku tanya En Hubby, aku dah jadi macam inspector polis menyiasat kes jenayah je... "Camana diorang ajak? Apa diorang cakap? Ada sebut ajak keluarga tak?" Bertalu talu soalan aku. En Hubby cuma jawab  "we invite you.....".  Laa.....you aje?!. Ishhh... dia sangkakan macam kenduri kat kampung agaknya, bila kenduri ajak semua orang dalam famili. Ni bandar la.. jemputan orang kira kepala sebab nak budget. Alaa... kalau aku berleter 3 hari 3 malampun buat apa kann.... perkara dah jadi. Redha je lah... lagipun Tuhan dah takdirkan ada rezeki aku kat situ. Aku pujuk diri sendiri. Alhamdulillah!

Pengalaman mengajar aku erti kehidupan. Selepas peristiwa itu, aku dah serik dengan kata kata tanggapan seperti '...aku ingatkan @ aku sangkakan....' perkara main agak agak ni buat aku 'anxious', aku dah delated dari dalam kamus hidup aku.





Cheeewahhh!

Tuesday, November 24, 2015

School trip- mencari harta karun!


Kia Ora!
Hari kedua di Rotorua, aku baru tahu bersama rombongan kami ada 3 pelajar antarabangsa (exchange student), 2 dari Jepun dan 1 dari Jerman.

Selepas bersarapan pelajar pelajar digalakkan membungkus sandwich sendiri sebagai bekal makan tengahhari. Akupun turut berbuat demikian, membungkus sandwich berisi telur rebus, mayonis dan daun salad.

Sampai di bandar, aktiviti pertama ialah mendengar penerangan tentang Perlancongan di Rotorua, di dewan 'Convention Centre'.

Setelah itu, tidak jauh dari situ aku menyaksikan pamiran warisan budaya dan kesenian orang Maori di Rotorua Museum. Pengalaman melucukan ketika menonton movie 4D, aku tergamam bila kerusi tempat dudukku tiba tiba bergegar, aku sangkakan gempabumi. NZ kan selalu kena gempabumi ni. Terdengar jeritan dari pelajar juga, mereka pun terkejut sama. Kemudian terdengar pula gelak dan hilaian mereka mentertawakan diri sendiri.

Gegaran itu bagi memberi kesan seolah olah aku berada di zaman lampau, dan dapat menghayati suasana cemas ketika gunung berapi Tarawera meletus berabad dulu. Selesai menyaksikan berbagai tinggalan sejarahnya, aku turut menaiki tangga kayu menghala ke beranda yang dibina di atas atap. Wow... Pemandangannya yang sungguh menarik.

Tengahari itu kami 'lunch on the go' sebelum ke Rotorua Airport. Selepas menyaksikan kereta bomba Airport beraksi, kami berpatah balik ke bandar dimana pelajar pelajar kena membuat kajiselidik antara dua hotel yang telah dipilih. Aku juga turut serta, seronok meninjau tentang 'survey' mereka walaupun sudah terasa sedikit penat.

Lebih kurang jam 3pm kajiselidik mereka selesai. Tibalah masa untuk aktiviti mencari harta karun atau 'Town Team Challenge'. Aktiviti yang memerlukan stamina dan kepantasan mencari petunjuk (clue). Akupun tak pasti kumpulan yang mana jadi juara, sebab aku sibuk minum coklat panas di cafe dengan Ms Wilson dan Mr Pebelle.

Bagi penjimatan masa, kejayaan kumpulan yang menjadi juara dalam mencari harta karun telah diraikan dalam bas. Ooooh.... hadiahnya hamper yang berisi coklat bar! Hamper dibuka dan coklat bar diagih agihkan kepada semua yang ada di dalam bas termasuk pemandu bas. Peserta yang kalahpun dapat hadiah. Dalam perjalanan menuju ke Keswick Camp kami beryanyi beramai ramai lagu Maori.

Konon untuk menyegarkan badan lewat petang itu kami pergi berendam air panas bermineral di Polynesian Spa, bagi menghilangkan rasa penat setelah seharian penuh dengan aktiviti yang menarik.

Aktiviti hari ketiga ke Agrodome Sheep show. Pertunjukan 'ratu cantik kambing' dan kepantasan anjing mengawal bintang ternakan, sempat pula menyusukan anak kambing.... Seronok! Di Agrodome juga kami dapat menyaksikan dari dekat kambing biri biri dicukur bulunya. Bulu bulu itu kuambil untuk dijadikan cenderahati, bila pegang bulu kambing tu..ewww! bau kambing...haha

Pelajar mendengar ceramah tentang Ecology sistem dan sejarah Agrodome di kandang kuda. Aku ke hulu ke hilir tak sabar nak pergi naik Gandola ke Skyline untuk bermain ludge.

Malamnya mereka ke Holidays Inn menjamu selera sambil menyaksikan persembahan kebudayaan. Aku tidak turut serta kerana menjaga seorang pelajar yang tidak sihat. Walaupun aku tidak hadir mereka sudi berkongsi cerita dan Ms Wilson menunjukkan rakaman persembahan Haka dari Mr Pabelle.

Empat hari bersama sama pelajar remaja, terjalin kemesraan dan mereka pula  sangat menghormati orang lain dan peramah. Dalam perjalanan pulang ke Wellington, bas berhenti seketika kerana kami mahu mengabadikan kenangan bermain salji.


Terima kasih WEGC kerana memberi peluang kepada aku menimba pengalaman baru yang tidak ternilai.  Itulah harta karun aku!!

Monday, November 23, 2015

School trip ke Rotorua!


Tidak lama dulu aku terpilih menyertai Geography trip (GE 300) ke Rotorua. Bukan aku tak pernah pergi ke situ, banyak kali dah tapi itu pergi dengan keluarga tak sama kalau ikut rombongan sekolah. Zaman aku sekolah dulu matapelajaran Geography ni dikenali dengan Ilmu Alam. Masa tu belajar Ilmu Alam hanya baca buku text, tengok tengok gambar dan lukis peta, mana ada rombongan khas macam ni. Itu yang membuatkan aku rasa excited dapat menyertai, aku nak perhatikan macamana anak kiwi belajar.

Pagi itu aku bangun awal, kami berhimpun tidak jauh dari gate WEGC. 40 remaja perempuan berusia 17 tahun (year 13), 2 guru, pemandu bas dan diri aku.  Ms Wilson (cikgu Geography) dan Mr Pebelle (cikgu World History) keduanya terlibat secara langsung dan telah membuat 'arrangements' bagi aktiviti dan penginapan untuk ahli rombongan. Tugas aku sebagai 'parent helper' hanya pemerhati sahaja. Diulang lagi... Pemerhati sahaja!. Setiap pelajar dikenakan bayaran sebanyak 250NZD. Tapi untuk aku semua kos aktiviti, penginapan dan makanan dibayai oleh pihak WEGC.


Kawan aku, sekolah anak dia 'parent helper' perlu hantar résumé dan lepas tu siap kena interview lagi. Oh...gituuuu!! Aku ni kira bertuahlah terpilih menyertai free trip tu kannn!

Sebelum bas bergerak, kami semua mengira nombor diri sendiri, untuk memastikan tiada yang tertinggal. Ms Wilson berkata, "Girls... Ready? One!", kiraan disambung oleh Mr. Pebelle "Two" dan seterusnya. Selepas membilang diri sendiri, bas kami bergerak tepat pada jam 7.15am, cuaca masih lagi gelap dan sejuk.

Setelah lebih kurang dua jam perjalanan, kami berhenti rehat di Bull untuk minuman panas (nak minum kena beli sendiri). Kemudiannya berhenti lagi di Taupo untuk makan tengahari. Aku beli kebab sebab itu saja yang aku nampak halal.

Jam 3.50pm tiba di Rotorua, masa tu hari dah senja, sempat melawat Whakarewarewa sebuah perkampungan Maori yang ada 'thermal'. Tiket masuk telah diuruskan oleh pihak WEGC. Begitu juga  khidmat seorang pemandu pelancung. Perempuan Maori separuh umur itu bercerita tentang nenek moyang mereka dan sejarah tempat tersebut dan juga dia membawa ahli rombongan melawat sekitar perkampungan Whakarewarewa itu.

Zaman sebelum kedatangan orang Eropah, orang Maori yang meninggal dunia akan diletakkan di atas pokok yang tinggi. Kebetulan pula pada masa dia bercerita memang sedang lalu di bawah pokok yang besar dan tinggi. Aku mendonggak ke atas tengok dahan pokok, emmmm... agaknya diorang ikat mayat pada dahan yang paling tinggi tu....pandang ke bawah ternampak batu nesan yang tersergam tak jauh dari pokok besar tu. Alamak seram sejuk...

Aku melangkah laju ke arah pelajar pelajar remaja yang kini sedang mendengar kisah dan sejarah Marea (dewan serbaguna / surau) yang terletak di situ.

5.30pm tiba di Keswick Camp, keluarkan bag bag dari perut bas dan memilih bilik. Kemudiannya mengambil selimut tebal, lapik tilam, bantal dan sarung bantal dari bilik simpanan. Jam 6.00pm menjamu selera, hidangan vegetarian aku malam ni kentang bakar.

Lewat petang itu pelajar diberi masa 30 minit berbincang tentang idea dan cara persembahan,  sebelum bertandingan 3 minit dalam 'Team Challenge'. Keaslian dan ketepatan maklumat tentang Rotorua di kira sebagai markah bonos disamping persembahan yang menghiburkan.

Aku.... tak sabar menanti hari esok untuk aktiviti mencari harta karun

Sunday, November 22, 2015

Mendarat di bumi Kiwi

Masihku ingat, pertama kali memijak kaki di bumi Kiwi ni, Bahasa English (BI) aku boleh tahan teruknya. Bila aku melalui pihak immigration untuk pemeriksaan bag di Auckland Airport, aku di tanya "do you speak English?". Dengan yakinnya aku jawab "little little" Hah.! Betullah tu, maksudnya sikit sikit. Nak buat camana, aku balas je la senyum kambing pegawai tu...

Aku bosan keseorangan di rumah, En Hubby pula selalu ke universiti. Untuk menghilangkan rasa bosan dan kesunyian, aku selalu pergi melepak lepak di perpustakaan, boleh katakan habis semua cerita 'fairy tales' aku dah baca. Area kanak kanak adalah menjadi tempat pilihanku, kerana ada disediakan sofa empok.

Kekadang kanak kanak pra-sekolah datang bersama guru mereka untuk meminjam buku atau datang mendengar cerita yang dibacakan dengan gaya yang menarik. Aku juga tumpang seronok mendengar cara mereka menyampaikan cerita, dengan nada sebutan yang penuh perasaan.

Terimbas kembali, gaya mak saudaraku bercerita lengkap dengan nyanyian. Cerita yang paling aku suka ialah kisah Bawang Puteh dan Bawang Merah. Aku cuba cuba meniru gaya bercerita sebegitu bila ada kanak kanak pra-sekolah (3-5 tahun) minta dibacakan untuk mereka. Jadi akupun layan je lah. Tolong bacakan buku bergambar untuk kanak pra-sekolah tu bukan susah mana pun. Nak dijadikan cerita, ada mata yang memerhati aku. Jeng..jeng..jeng..

Aku sendiri tak perasan sebab sibuk bercerita. Setelah berkenalan lebih kurang dan bertukar-tukar maklumat, aku dilamar bekerja sebagai guru pembantu kindergarten di bandar Wellington. Tuah ayam nampak di taji, tuah aku nampak kat dahi. Heh... Just kidding! Memang aku tak sangka pun! Walaupun cuma kerja part time, tak kisahlah yang penting aku dapat belajar pengalaman baru.

Bercerita tentang sistem persekolahan, di sini mula masuk bersekolah umur 5 tahun. Selepas harijadi yang  ke 5. Sekolah rendah sehingga umur 12 tahun (year 1 - year 8). Sekolah menengah berumur 13 -17 tahun (year 9 - year 13). Selepas itu sambung belajar ke universiti.

Bila anak aku berumur 5 tahun dan telah bersekolah, aku pula teringin nak sambung belajar semula. Lalu aku mendaftarkan diri belajar di VUW . Dengan kelayakan STPM dan kursus pendek BI aku diterima menjadi mahasitua ehh.... mahasiswa di Victoria University of Wellington (VUW). Jadi, sebelah pagi aku di kindergarten dan pada waktu tengahari ke petang aku berada di kampus. Memang lah terasa penat, tapi aku mahu buktikan bahawa 'belakang parang kalau di asah lagi kan tajam'.

Tiga tahun aku belajar mengasuh otak. Aku ni jenis orang yang berfikir dalam BM kemudian terjemah ke BI. Memang payah!

Suatu hari dalam dewan syarahan, pensyarah mengembalikan tugasan (assignment) pelajar. Sebelah aku duduk seorang minahsaleh, setelah dia menerima tugasannya aku terdengar dia memaki maki, aku terfikir... kalau BI tu bahasa dia, dan dia dapat C. Aku??? Muka aku dah terasa membahang. Hadooiii... Pasai apa nama aku dia ni tak panggil lagi ni.... dah tentu gagal la tu... Cuak betul...

Namaku dipanggil, aku diminta berdiri di hadapan dewan. Sambil pensyarah tu memegang tugasanku, tangannya sekejap ke atas, sekejap ke bawah. Entah apa lagi yang dia cakap, yang aku dengar cuma "Congratulation!". Bila aku tengok markah aku. OMG! A+

Yayyyy... Belakang parangku dah tajam!

zaman happy go lucky

Rindu kampung halaman...
Masih terbayang zaman kanak-kanak, keseronokan bermain selepas balik dari sekolah. Siap je makan tengahari terus ke surau untuk belajar mengaji. Ngaji tu sampingan je, niat sebenarnya nak bermain. Bila dah berkumpul reramai tu ada je idea yang timbul. Masa dulu mak bapa tak risau kalau anak-anak mereka merayau di kampung. Keluarga besar, satu kampung tu boleh kata saudara-mara belaka, semua pakat pakat tolong tongokkan. Zaman sekarang? Hmm…macam pelawak Nabil tu kata, "lu pikir la sendiri!".
Mengaji quraan dan belajar fardu ain memang satu kemestian. Mestilah, sebabnya ayah aku yang mengajar di surau kampung masa tu.  Ayah aku tak garang, tapi aku yang rasa malu pada kekawan kalau aku tak datang. 
Aku ngaji takat okey okey je..
            ...It’s not how good you are,
            It’s how good you want to be...

Selepas mengaji... masa untuk kecergasan badan! Pelbagai aktiviti kitorang anak kampung lakukan dari tengahari menjelang ke senja. Memanjat pokok buah.. pokok jambu batu di belakang surau tempat kami mencari habuan, bermain buai dari rotan yang berjuntai-juntaian dah macam tarzan. Masa tu emak aku cakap, “tak elok main gitu, awak tu pompuan” heheh. Kekadang kami mandi-manda di sungai sampai mengeletar tubuh badan. Main polis senteri dan bermain perang dalam semak dengan mengunakan senapang kayu berpeluru terung pipit. Berbanding budak sekarang ni... yang tau main gajet je.! 

Seronok bermain aktiviti lasak ini, tapi kena berhenti apabila terdengar bunyi cengkerik. Cengkerik ni la yang orang kampung aku panggil ‘lelewai’. Lelewai berbunyi menandakan hari sudah senja. Moh deras balik, sebelum emak korang terjerit jerit…

Hm.. rindunya pada zaman kekanak dulu.Tak payah risau apa apa, hidup bagai ‘happy go lucky’ je. Kalaulah betul ada mesen macam dalam filem 'Back to the Future' tu mau aku cuba agaknya..hehe  merepek meraban.
Zaman lampau korang.. camana? best tak? 

Friday, November 20, 2015

Alam Persekolahan

Masih segar dalam ingatanku.... pengalaman lampau yang pernah mewarnai kehidupan aku kini. 

Alam persekolahanku bermula dari sekolah rendah di SKC. Apa yang aku ingat nama Guru Besarnya cikgu Abdul Rahman Ismail, memberitahu emak yang nama aku tidak ada dalam senarai pelajar darjah satu. Asudahhh... macamana ni? Tak sekolah lah aku! Bimbang juga kalau aku tak dapat belajar. Guru Besar menanya aku, "awak nak masuk sekolah?" Aku anguk-anguk malu.

"Tak apalah akak.... nanti saya uruskan pendaftaran anak akak ni".  Emak aku lantas menjawab "Cikgu, saya serahkan anak saya ni untuk cikgu didik jadi orang berguna, kalau dia buat salah, kalau nak pukul, pukullah. Asal jangan patah riuk dah lah". Kusemangat mari balik.... takutnya aku!. Masa tu aku pandang Guru Besar tu dah macam gergasi.

Hari pertama aku bersekolah, itulah hari kampungku dilanda bah. Sungai kecil yang kami panggil alor, airnya telah melimpah. Titi buluh untuk menyeberangi telah hanyut. Aku, emak dan beberapa lagi orang kampung dan anak mereka berdiri di tebing sungai sambil menanti titi diganti baru. Kebetulan ada seorang pakcik pembuat gula kabung, pagi itu dia hendak pergi mengambil air nira dari pokok kabung, dan pakcik tu ada membawa sebilah parang. Dengan pertolongan pakcik itu menebang buluh dan mengantikan titi yang telah hanyut, dapatlah aku dan yang lain-lain menyeberangi sungai. Kami meneruskan perjalanan ke sekolah walaupun agak terlewat sampai ke SKC.

Aku masa kecil dulu kuat merajuk. Tu perangai aku masa dulu.... Nak musk sekolah menengah, emak telah beli kain untuk pakaian seragam sekolah menengah aku.  Tapi tersilap warna, sepatutnya kain tersebut berwarna biru muda, tapi emak membeli kain warna hijau. Aku merajuk tak mahu ke Sekolah Menengah Budu... malu eh pakaian seragam aku lain dari orang lain. Memanglah terasa sedih hati aku bila kawan baik aku asyik bagitahu yang cikgu kelas perdagangan di SMPGS tu masih lagi bertanyakan namaku untuk catatan kehadiran. Aku pulak tak sampai hati nak bagitau emak....... Kerana kain hijau punya pasal, aku jadi murid sekolah ugama rakyat di Chat. Dipendekkan cerita aku lulus cemerlang dalam pemeriksaan tingkatan 3 (SRP & SRU).

Selepas keputusan SRP diumumkan, timbul kembali keinginan hatiku untuk sambung pelajaran ke tingkatan 4 di SMPGS, tetapi dalam masa yang sama aku mendapat tawaran ke Sekolah Ugama Pulau Tawar, Jerantut. Lalu aku belajar untuk buat keputusan sendiri. Aku percaya kalau memang dah baik nasib aku, campaklah kemana jua, 'untung sabut pasti timbul......'

Di SMUPT pula aku telah belajar berdikari, belajar membajet perbelanjaanku, belajar memasak untuk diri sendiri walaupun memasak makanan yang paling simple. Hakikatnya memasak nasi menggunakan 'dapur sumbu' minyan tanah tidaklah semudah memasak nasi menggunakan 'rice cooker'. Mujur juga masa tingkatan 5, aku ditawarkan tinggal di asrama. Seronok wehh...tinggal di asrama tak payah risau-risau apa nak masak, segalanya pihak asrama telah aturkan waktu untuk sarapan, makan tengahari, makan malam dan juga waktu tidur.

Tinggal di asrama, lampu dipadamkam pada jam 10.30pm. Setiap malam akan terdengarlah bunyi bising yang membingitkan dari dewan makan.  Maklumlah tamat je waktu untuk belajar menghafal dan buat ulangkaji pelajaran, penghuni asrama puteri bersegera mengemas dewan makan dan menyiapkan diri untuk tidur. Dan aku pula itulah waktunya terjaga dari tidurku dan turun ke dewan makan untuk mengulangkaji bersendirian dengan hanya bertemankan cahaya lilin hingga ke lewat malam.

Alhamdulillah, aku berjaya dalam kedua peperiksaan SPM & SMU. Aku seronok dapat menyambung pembelajaran ke tingkatan 6 di STUSAB, Pekan.

Thursday, November 19, 2015

Ella Enchanted

Salam dari perantauan.  

Siapa Ella Juna?
Aku perkenalkan diri sebagai Ella Juna. Anak jati Pahang dan kini bermastautin di NZ.

Ella hanyalah nama penggilanku.  Orang kampung mengenali aku sebagai Alang.

Mari kuceritakan, sebenarnya tidak lama dahulu sewaktu aku masih di alam persekolahan aku mempunyai saudara-mara sekampung yang sama bersekolah denganku. Seperti mana di kampung  aku dipanggil dengan ‘pangkat’ Alang. Jadi gelaran Alang ini jadi namaku juga yang diguna pakai di Sekolah Tinggi apabila aku ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6 di Sekolah Tinggi Agama, di Pekan, Pahang. Kawan-kawan baruku memanggil namaku Ella kerana mereka tersilap dengar barangkali. Nama Ella telah sebati dengan diriku, jadi aku memilih untuk mengekalkan nama panggilan ini kerana aku minat sekali dengan movie “Ella Enchanted”.

Telah kuceritakan tentang bagaimana aku menamakan diriku Ella. Selanjutnya aku ingin menjelaskan pula nama Juna. Juna adalah nama panggilan ayahku yang sebenar. Aku pernah terdengar arwah wan aku memanggil ayahku dengan nama Juna, dan orang kampungku memanggil ayahku PakWe Juna @ PakWe Kudin.

Bagaimana Ella membantu hidupnya?
Dunia blogger adalah sesuatu yang baru bagiku. Aku berkenalan dengan dunia blog ini hanya sekadar suka-suka. Rasa teruja apabila membaca entry blog orang lain, dari situ timbul minat untuk mencuba dunia blog, mengasah bakat menulis (walaupun tak berapa pandai nak mengarang) dan mengisi masa lapang. Cara blogging aku… sebenarnya, segalanya aku serahkan pada Allah. Selagi ada kemudahan internet, selagi itu aku akan menulis. Esok lusa belum tahu lagi.

Aku juga berhasrat dengan menulis blog ini aku dapat berkongsi idea dan buah fikiran dan kisah kehidupan bersama anda. Semuga penulisan aku dapat memberi  ilham kepada sebahagian dari anda untuk mengejar impian anda sebagaimana aku mengejar impianku.

Aku berterima kasih dan merasa rendah diri dengan ilmu yang tidak seberapa ini. Aku akan cuba untuk berkongsi cerita dan pengalamanku di....  https://tempoyakkeju.blogspot.com

Pastinya ada pelbagai cabaran, halangan dan rintangan yang mungkin akan aku lalui apabila menulis blog ini. Cabaran pertama dirasakan ialah kekangan masa. Agak payah juga meluang masa untuk menulis kerana aku bekerja sepenuh masa. Aku mempunyai seorang puteri dan seorang putera yang memerlukan bimbingan.  Dan aku juga seorang guru sukarela yang mengajar Islamiat pada Hari Ahad di masjid tempatan.

Di sinilah ruang dimana anda dapat mengenali Ella, apa yang difikirkan, cerita suka duka yang dilaluinya, minat dan kecenderungannya secara lebih dekat.

Terima kasih kerana singgah membaca celotehku, semuga anda terhibur.

Salam dari downunder.