Wednesday, March 14, 2018

Langsuir mengilai.


Assalam...

Kisah yang ku paparkan di sini adalah pengelaman aku sewaktu kecil dulu, sekitar usiaku 11 tahun.

Senja tu, ku lihat apak mengasah parang tepeknya. Parang bersarung  yang selalu dibawanya ke mana-mana bila keluar berpergian. Tinggal di kampung perkara sebegini adalah perkara biasa saja.

Emak pula sedang menyiapkan sayur dan ulam-ulaman untuk  jualannya ke pekan sehari di Benta esok harinya. Kerja kampung macam tu lah, mujur juga kami ada sawah padi  setidak-tidaknya nasi sentiasa ada walaupun musim tengkujuh. 

Masa tu kampung aku belum ada paip air dan juga bekalan eletrik. Air kegunaan seharian di ambil dari telaga tidak jauh dari rumah. Bila malam tu masih lagi guna pelita. 

Aku dan Mas, adik aku sedang meniarap di lantai berkongsi cahaya pelita sambil siapkan kerja sekolah. Dalam keadaan yang senyap sunyi tu tetiba terdengar bunyi hilaian yang sangat nyaring tak jauh dari rumah aku tu.

Apak tanya kitorang “deme dengor bunyi bende terh?”. “A'ah dengor… jawab pakteh Kama, abang ipar (BIL) aku yang baru sampai dari J14 siang tadi.  “Bunyi mende terh?”. Pertanyaan dibalas pertanyaan pula. Apak kata “tu la bunyi langsuir….”  Bila dengar je jawapan apak tu, aku bingkas bangun menceliput lari ke ruang dapur,  begitu juga BIL aku tu. “Gedebam!”  aku dan BIL belaga di pintu. Eh… adik aku si Mas tu dah duduk di sebelah apak, laju betul dia. Rasa sakit berlanggar bahu  di pintu tadi tidak ku pedulikan kerana perasaan seram melebihi segalanya.

Lepas peristiwa itu apak nak ajar aku petua menundukkan langsuir, tapi aku tak nak sebab aku takut nanti kena sakat dek langsuir kat aku pula.