Sunday, November 22, 2015

Mendarat di bumi Kiwi

Masihku ingat, pertama kali memijak kaki di bumi Kiwi ni, Bahasa English (BI) aku boleh tahan teruknya. Bila aku melalui pihak immigration untuk pemeriksaan bag di Auckland Airport, aku di tanya "do you speak English?". Dengan yakinnya aku jawab "little little" Hah.! Betullah tu, maksudnya sikit sikit. Nak buat camana, aku balas je la senyum kambing pegawai tu...

Aku bosan keseorangan di rumah, En Hubby pula selalu ke universiti. Untuk menghilangkan rasa bosan dan kesunyian, aku selalu pergi melepak lepak di perpustakaan, boleh katakan habis semua cerita 'fairy tales' aku dah baca. Area kanak kanak adalah menjadi tempat pilihanku, kerana ada disediakan sofa empok.

Kekadang kanak kanak pra-sekolah datang bersama guru mereka untuk meminjam buku atau datang mendengar cerita yang dibacakan dengan gaya yang menarik. Aku juga tumpang seronok mendengar cara mereka menyampaikan cerita, dengan nada sebutan yang penuh perasaan.

Terimbas kembali, gaya mak saudaraku bercerita lengkap dengan nyanyian. Cerita yang paling aku suka ialah kisah Bawang Puteh dan Bawang Merah. Aku cuba cuba meniru gaya bercerita sebegitu bila ada kanak kanak pra-sekolah (3-5 tahun) minta dibacakan untuk mereka. Jadi akupun layan je lah. Tolong bacakan buku bergambar untuk kanak pra-sekolah tu bukan susah mana pun. Nak dijadikan cerita, ada mata yang memerhati aku. Jeng..jeng..jeng..

Aku sendiri tak perasan sebab sibuk bercerita. Setelah berkenalan lebih kurang dan bertukar-tukar maklumat, aku dilamar bekerja sebagai guru pembantu kindergarten di bandar Wellington. Tuah ayam nampak di taji, tuah aku nampak kat dahi. Heh... Just kidding! Memang aku tak sangka pun! Walaupun cuma kerja part time, tak kisahlah yang penting aku dapat belajar pengalaman baru.

Bercerita tentang sistem persekolahan, di sini mula masuk bersekolah umur 5 tahun. Selepas harijadi yang  ke 5. Sekolah rendah sehingga umur 12 tahun (year 1 - year 8). Sekolah menengah berumur 13 -17 tahun (year 9 - year 13). Selepas itu sambung belajar ke universiti.

Bila anak aku berumur 5 tahun dan telah bersekolah, aku pula teringin nak sambung belajar semula. Lalu aku mendaftarkan diri belajar di VUW . Dengan kelayakan STPM dan kursus pendek BI aku diterima menjadi mahasitua ehh.... mahasiswa di Victoria University of Wellington (VUW). Jadi, sebelah pagi aku di kindergarten dan pada waktu tengahari ke petang aku berada di kampus. Memang lah terasa penat, tapi aku mahu buktikan bahawa 'belakang parang kalau di asah lagi kan tajam'.

Tiga tahun aku belajar mengasuh otak. Aku ni jenis orang yang berfikir dalam BM kemudian terjemah ke BI. Memang payah!

Suatu hari dalam dewan syarahan, pensyarah mengembalikan tugasan (assignment) pelajar. Sebelah aku duduk seorang minahsaleh, setelah dia menerima tugasannya aku terdengar dia memaki maki, aku terfikir... kalau BI tu bahasa dia, dan dia dapat C. Aku??? Muka aku dah terasa membahang. Hadooiii... Pasai apa nama aku dia ni tak panggil lagi ni.... dah tentu gagal la tu... Cuak betul...

Namaku dipanggil, aku diminta berdiri di hadapan dewan. Sambil pensyarah tu memegang tugasanku, tangannya sekejap ke atas, sekejap ke bawah. Entah apa lagi yang dia cakap, yang aku dengar cuma "Congratulation!". Bila aku tengok markah aku. OMG! A+

Yayyyy... Belakang parangku dah tajam!

No comments:

Post a Comment