Friday, November 20, 2015

Alam Persekolahan

Masih segar dalam ingatanku.... pengalaman lampau yang pernah mewarnai kehidupan aku kini. 

Alam persekolahanku bermula dari sekolah rendah di SKC. Apa yang aku ingat nama Guru Besarnya cikgu Abdul Rahman Ismail, memberitahu emak yang nama aku tidak ada dalam senarai pelajar darjah satu. Asudahhh... macamana ni? Tak sekolah lah aku! Bimbang juga kalau aku tak dapat belajar. Guru Besar menanya aku, "awak nak masuk sekolah?" Aku anguk-anguk malu.

"Tak apalah akak.... nanti saya uruskan pendaftaran anak akak ni".  Emak aku lantas menjawab "Cikgu, saya serahkan anak saya ni untuk cikgu didik jadi orang berguna, kalau dia buat salah, kalau nak pukul, pukullah. Asal jangan patah riuk dah lah". Kusemangat mari balik.... takutnya aku!. Masa tu aku pandang Guru Besar tu dah macam gergasi.

Hari pertama aku bersekolah, itulah hari kampungku dilanda bah. Sungai kecil yang kami panggil alor, airnya telah melimpah. Titi buluh untuk menyeberangi telah hanyut. Aku, emak dan beberapa lagi orang kampung dan anak mereka berdiri di tebing sungai sambil menanti titi diganti baru. Kebetulan ada seorang pakcik pembuat gula kabung, pagi itu dia hendak pergi mengambil air nira dari pokok kabung, dan pakcik tu ada membawa sebilah parang. Dengan pertolongan pakcik itu menebang buluh dan mengantikan titi yang telah hanyut, dapatlah aku dan yang lain-lain menyeberangi sungai. Kami meneruskan perjalanan ke sekolah walaupun agak terlewat sampai ke SKC.

Aku masa kecil dulu kuat merajuk. Tu perangai aku masa dulu.... Nak musk sekolah menengah, emak telah beli kain untuk pakaian seragam sekolah menengah aku.  Tapi tersilap warna, sepatutnya kain tersebut berwarna biru muda, tapi emak membeli kain warna hijau. Aku merajuk tak mahu ke Sekolah Menengah Budu... malu eh pakaian seragam aku lain dari orang lain. Memanglah terasa sedih hati aku bila kawan baik aku asyik bagitahu yang cikgu kelas perdagangan di SMPGS tu masih lagi bertanyakan namaku untuk catatan kehadiran. Aku pulak tak sampai hati nak bagitau emak....... Kerana kain hijau punya pasal, aku jadi murid sekolah ugama rakyat di Chat. Dipendekkan cerita aku lulus cemerlang dalam pemeriksaan tingkatan 3 (SRP & SRU).

Selepas keputusan SRP diumumkan, timbul kembali keinginan hatiku untuk sambung pelajaran ke tingkatan 4 di SMPGS, tetapi dalam masa yang sama aku mendapat tawaran ke Sekolah Ugama Pulau Tawar, Jerantut. Lalu aku belajar untuk buat keputusan sendiri. Aku percaya kalau memang dah baik nasib aku, campaklah kemana jua, 'untung sabut pasti timbul......'

Di SMUPT pula aku telah belajar berdikari, belajar membajet perbelanjaanku, belajar memasak untuk diri sendiri walaupun memasak makanan yang paling simple. Hakikatnya memasak nasi menggunakan 'dapur sumbu' minyan tanah tidaklah semudah memasak nasi menggunakan 'rice cooker'. Mujur juga masa tingkatan 5, aku ditawarkan tinggal di asrama. Seronok wehh...tinggal di asrama tak payah risau-risau apa nak masak, segalanya pihak asrama telah aturkan waktu untuk sarapan, makan tengahari, makan malam dan juga waktu tidur.

Tinggal di asrama, lampu dipadamkam pada jam 10.30pm. Setiap malam akan terdengarlah bunyi bising yang membingitkan dari dewan makan.  Maklumlah tamat je waktu untuk belajar menghafal dan buat ulangkaji pelajaran, penghuni asrama puteri bersegera mengemas dewan makan dan menyiapkan diri untuk tidur. Dan aku pula itulah waktunya terjaga dari tidurku dan turun ke dewan makan untuk mengulangkaji bersendirian dengan hanya bertemankan cahaya lilin hingga ke lewat malam.

Alhamdulillah, aku berjaya dalam kedua peperiksaan SPM & SMU. Aku seronok dapat menyambung pembelajaran ke tingkatan 6 di STUSAB, Pekan.

No comments:

Post a Comment