Thursday, November 19, 2015

Ella Enchanted

Salam dari perantauan.  

Siapa Ella Juna?
Aku perkenalkan diri sebagai Ella Juna. Anak jati Pahang dan kini bermastautin di NZ.

Ella hanyalah nama penggilanku.  Orang kampung mengenali aku sebagai Alang.

Mari kuceritakan, sebenarnya tidak lama dahulu sewaktu aku masih di alam persekolahan aku mempunyai saudara-mara sekampung yang sama bersekolah denganku. Seperti mana di kampung  aku dipanggil dengan ‘pangkat’ Alang. Jadi gelaran Alang ini jadi namaku juga yang diguna pakai di Sekolah Tinggi apabila aku ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6 di Sekolah Tinggi Agama, di Pekan, Pahang. Kawan-kawan baruku memanggil namaku Ella kerana mereka tersilap dengar barangkali. Nama Ella telah sebati dengan diriku, jadi aku memilih untuk mengekalkan nama panggilan ini kerana aku minat sekali dengan movie “Ella Enchanted”.

Telah kuceritakan tentang bagaimana aku menamakan diriku Ella. Selanjutnya aku ingin menjelaskan pula nama Juna. Juna adalah nama panggilan ayahku yang sebenar. Aku pernah terdengar arwah wan aku memanggil ayahku dengan nama Juna, dan orang kampungku memanggil ayahku PakWe Juna @ PakWe Kudin.

Bagaimana Ella membantu hidupnya?
Dunia blogger adalah sesuatu yang baru bagiku. Aku berkenalan dengan dunia blog ini hanya sekadar suka-suka. Rasa teruja apabila membaca entry blog orang lain, dari situ timbul minat untuk mencuba dunia blog, mengasah bakat menulis (walaupun tak berapa pandai nak mengarang) dan mengisi masa lapang. Cara blogging aku… sebenarnya, segalanya aku serahkan pada Allah. Selagi ada kemudahan internet, selagi itu aku akan menulis. Esok lusa belum tahu lagi.

Aku juga berhasrat dengan menulis blog ini aku dapat berkongsi idea dan buah fikiran dan kisah kehidupan bersama anda. Semuga penulisan aku dapat memberi  ilham kepada sebahagian dari anda untuk mengejar impian anda sebagaimana aku mengejar impianku.

Aku berterima kasih dan merasa rendah diri dengan ilmu yang tidak seberapa ini. Aku akan cuba untuk berkongsi cerita dan pengalamanku di....  https://tempoyakkeju.blogspot.com

Pastinya ada pelbagai cabaran, halangan dan rintangan yang mungkin akan aku lalui apabila menulis blog ini. Cabaran pertama dirasakan ialah kekangan masa. Agak payah juga meluang masa untuk menulis kerana aku bekerja sepenuh masa. Aku mempunyai seorang puteri dan seorang putera yang memerlukan bimbingan.  Dan aku juga seorang guru sukarela yang mengajar Islamiat pada Hari Ahad di masjid tempatan.

Di sinilah ruang dimana anda dapat mengenali Ella, apa yang difikirkan, cerita suka duka yang dilaluinya, minat dan kecenderungannya secara lebih dekat.

Terima kasih kerana singgah membaca celotehku, semuga anda terhibur.

Salam dari downunder.




2 comments: