Thursday, December 17, 2015

Terkenang sewaktu dahulu....


Paling seronok bila pulang ke Tanahair bertemu keluarga besarku. Bila dah berjumpa tu, riuhlah kami anak beranak bersembang dan bergelak ketawa mengimbas kembali kisah dulu dulu. Sambil minum petang dengan mengunyah kek yang kakteh buat...

"Ingat lagi kisah kek bantat dulu?" suatu petang kakteh bertanya aku.
"Ingat sangatttt...hehe!" aku tergelak kerana kenangan lalu menjelma kembali.

Kisah ini terjadi  pada malam hari raya puasa berdekad yang lalu, sewaktu itu  aku masih lagi di alam persekolahan. Keluarga aku baru saja berpindah ke Taman Perumahan tidak jauh dari kampung lamaku. Pada malam raya tu kakteh mengajak aku menemaninya berjaga malam. Aku layan je.... dah terbayang kek marble kakteh yang sedap, walaupun membakarnya hanya mengunakan takung berlapikkan pasir, bertutup dengan zink yang diletak bara dan sabut kelapa. Kakteh memang terer!!

"Aikkk... dah lewat malam baru teringat nak buat kek?" Sindir abang iparku.

Sambil membakar kek, kami terus bersembang. Bila dah tengah malam suka benar buka cerita seram. Kebetulan pula ketika itu terdengar sayup sayup anjing menyalak. Sembang seram kami bertambah rancak.

"Orang kata malam ni rantai dah terlerai" kakteh memulakan sembang larut malamnya.
"Hah dengar anjing tu" kakteh suruh aku pasang telinga.
"Masa bulan puasa jin dan hantu semua kena ikat, sekarang dah bebas". Aku pula menambah.
"A'ah 'dia' pun nak raya juga kannnn..." Kakteh buat lawak.

"Laaa... Kayu api dah habis ni... pergi ambil kejap, kang bantat pulak kek kita ni, tak cukup bara". Bimbang sungguh kakteh kalau kek dia tak menjadi.
"Guna tempurung je la" balas aku.
"Hmmm....tempurung pun tak ada!" Sambil kakteh menyuluh dengan pelita di bawah dapur.

Ribut disebelah petang itu penyebab kami sekampung bergelap gelita. Nasib baik ada 'pelita ayam' yang sepatutnya menghiasi pagar di malam raya.

Aku bangun menuju ke pintu dengan pelita di tangan, lalu aku letakkan pelita itu di tepi pintu, aku buka pintu dan turun ke tanah. Aku bergegas mencapai beberapa potong kayu api yang tersusun di bawah rumah lalu kucampak ke dalam rumah. Salakan anjing itu pula makin nyaring, dan lolongannya dari bawah rumah jiranku, jaraknya hanya berberapa meter sahaja dariku.

Tiba tiba aku terasa hembusan angin di tengkuk ku, serta merta meremang bulu roma aku, dan leherku terasa sejuk yang luar biasa.  Aku melompat naik ke dalam rumah dan menutup pintu dengan kaki tanpa berpusing ke belakang, Kemudiannya baru kukunci pintu dapur itu.

"Seriau la kakteh... terasa kena hembus tadi, meremang da bulu roma ni. Jom... masuk tidur". Aku mengajak kakteh meninggalkan ruang dapur. Kami biarkan saja kayu api beselerak di lantai. Kami dah tak peduli pasal kek, biarlah nak bantat ke, nak hangus ke... gasak lah!

Esoknya, dipagi raya... aku menyapa ayahku dengan pertanyaan "Kalau orang tu mati di kampung lama kita dulu, boleh ke hantu dia datang ke Taman Perumahan ni?". Ayah aku cakap.... "kalau masa orang tu hidup, dia tak pernah sampai sini, bila dah mati dia tak tau jalan....". Aku pandang kakteh mencari kepastian,"ohhh... gituuu...".

Adik aku juga mengimbas kisah yang terjadi pada malam raya yang sama... dia mengejutkan emak yang sedang mengigau. Sebenarnya emak bermimpi sedang berlawan dengan jembalang dan menjerit minta tolong sebab emak hampir tewas... "kalau adik awak tak dikejutkan, hmmmm.... tak tau lah" keluh emak. Sayunyaaa...

Haaaadoooiii... aku ni jenis lemah semangat rupanya...kena tiup sakit je da gabra..... kalau dengar cerita ayahku  pengalaman dia berdepan dengan hantu raya dan langsuir..... entah  leee. Ayah dan emak dah lama kembali ke rahmatullah. Kini yang tinggal hanya secebis kenangan.

Yang dah pergi kita sedekahkan Al Fatehah.
Yang masih hidup teruslah buat amal jariah!!

No comments:

Post a Comment